Thursday, April 1, 2010

SENI UKIRAN LOGAM PERAK

PENGENALAN.

Penggunaan bahan logam dalam memenuhi keperluan manusia telah bermula sejak zaman purba lagi, khususnya di kawasan Semenanjung Malaysia.Kebijaksanaan manusia pada zaman purba dalam penggunaan bahan logam ketika itu merupakan sesuatu yang sangat menarik untuk diperkatakan .Hal ini kerana bahan logam bukanlah seperti peralatan lain yang diperbuat daripada batu yang mana ianya boleh dipecah-pecahkan kepada bentuk yang kecil.Sifat logam yang keras memerlukan kepintaran dan kemahiran yang tinggi dalam melentur dan melebur logam tersebut sebelum menghasilkan peralatan yang kemudiannya dihiasi pula dengan ukiran –ukiran yang indah.Pelbagai jenis alat yang diperbuat daripada logam telah dihasilkan oleh masyarakat di Semenanjung Malaysia,khususnya masyarakat Melayu.Hal ini dapat dilihat melalui hasil ukiran yang dihasilkan oleh tukang-tukang ukir Melayu keatas alat-alat seperti senjata-senjata tradisonal,peralatan rumah,perhiasan diri dan barangan-barangan lain .Seni ukiran logam terbahagi kepada dua iaitu, seni ukiran logam perak dan seni ukiran logam tembaga ,tetapi pengkaji hanya mengkaji tentang seni ukiran perak .

SEJARAH SENI UKIRAN LOGAM PERAK DI KELANTAN .

Negeri Kelantan sangat terkenal dalam seni pertukangan perak yang juga merupakan salah satu daripada cabang kesenian orang Melayu .Namun,seni ukiran ini dikatakan masih agak baru jika hendak dibandingkan dengan seni ukiran yang lain .Kemahiran bertukang orang Melayu ini juga dikatakan telah wujud sejak zaman berzaman lagi .Tamadun Hindhu yang sangat terkenal dalam seni pertukangan logam seperti tembaga dan emas pada ketika itu dipercayai banyak mempengaruhi budaya Melayu dalam seni ukiran logam .Perusahaan barangan perak mempunyai kaitan yang rapat dengan bidang perusahaan emas dan tembaga berikutan terdapat persamaan dari segi pembuatannya . Negeri Kelantan sangat terkenal dalam pembuatan perhiasan perak 925 dan perkakasan perak .Kepakaran tukang perak banyak menghasilkan pelbagai jenis alat seperti cincin,anting-anting,dulang,bekas perhiasan dan kerongsang .Antara kampung yang masih aktif dalam pembuatan barangan perak ini termasuklah kampung Sireh,kampung Morak dan kampung Badang (2009:37). Berdasarkan sejarah pada umumnya,manusia dikatakan telah menggunakan wang perak pada zaman 800 SM dan sejarah seni ukiran perak telah muncul di kepulauan Melayu sejak zaman kerajaan Srivijaya lagi seterusnya berkembang hingga ke daerah-daerah lain di Nusantara .Apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu seni ukiran perak telah berkembang ke tahap industri kampung atau cottage industry pada abad ke-18 dan memajukan perusahaan ini .Kebanyakan industri kampung atau cottage industry berpusat di sekitar Kota Bharu tidak lebih 10 kilometer (km) dari pusat bandar .Bagi pengunjung yang ingin membeli-belah brang-barang yang menarik, jalan ke Pantai Cahaya Bulan adalah lokasi yang paling tepat untuk dikunjungi di industri kampung .Di Kelantan, buah tangan atau cenderamata yang popular adalah produk yang berasal daripada industri kampung .Perak dari Kelantan merupakan salah satu cenderamata yang popular selepas batik, wau atau giant kites dan songket serta ukiran kayu .


Rajah 1: cara mengetuk pada logam perak.

REKA CORAK DAN MOTIF DALAM SENI UKIRAN PERAK.

Keindahan seni ukiran perak ini diakui oleh masyarakat yang mengenali seni pertukangan ini.Keindahan yang dimaksudkan bukan sahaja pada seni rupa atau rekabentuk sesuatu ciptaan,bahkan juga pada pengolahan satu-satu motif dalam rekacorak awan larat dan falsafah yang tersirat di sebaliknya mengikut daya imaginasi pencipta awan larat .Dalam pertukangan perak,rekacorak merupakan ciri terpenting yang diandaikan dapat membezakan antara rekacorak orang Melayu dengan masyarakat lain.Disamping itu, dapat menghuraikan segala aspek tertentu terhadap sejarah dan perkembangannya .
Dalam seni ukiran perak terdapat tiga jenis motif iaitu motif bunga-bungaan,motif tumbuh-tumbuhan dan motif binatang .
Motif bunga-bungaan dalam seni ukiran perak yang kerap digunakan meliputi beberapa jenis motif iaitu :

• Bunga Mentari
• Bunga Padi
• Bunga Kiambang
• Bunga Senduduk
• Bunga Teratai
• Bunga Dahlia
• Bunga Langsat
• Bunga Mawar
• Bunga Orkid
• Bunga Kelambu
• Bunga Manggis
• Bunga Melur
• Bunga Raya
• Bunga Baling


Tukang-tukang perak Melayu menggunakan alam semula (flora) jadi yang dilihat di sekelilingnya seperti tumbuh-tumbuhan sebagai asas untuk menghasilkan satu rekacorak .Tumbuhan yang biasa digunakan sebagai motif adalah dari kumpulan yang menjalar dan boleh dijadikan sebagai sayur dan ulam seperti,daun Sembung Bidadari,Pucuk Kangkung,daun Dalur,Pucuk Paku,daun Sekati Lima,sulur Kacang Botol,daun Labu,sulur Kacang panjang,daun Kundur,buah Cili dan pucuk Petola.



Rajah 2: motif flora yang digunakan dalam seni ukiran logam perak.


Selain itu,terdapat juga motif-motif rekacorak yang menggunakan bentuk-bentuk haiwan .Walaubagaimanapun,motif ini tidaklah ditunjukkan dalam bentuk yang nyata.Kebanyakan bentuk motif binatang yang digunakan dalam rekacorak seni ukiran perak ialah binatang ternakan seperti ayam dan burung .Disamping itu,terdapat juga motif serangga yang digunakan dalam rekacorak seni ukiran perak ini .Motif yang biasa digunakan ialah gajah, burung, kuda, jari lipan,ikan belanak, rama-rama, pepatung, kumbang, lalat atau lebah .



Rajah 3: rupa asal logam perak.


PROSES PEMBUATAN DALAM SENI UKIRAN PERAK.


Proses pembuatan logam perak adalah berbeza bergantung kepada jenis barangan yang hendak dihasilkan sama ada kasar (besar) atau perhiasan halus.Barangan kasar merangkumi kendi, tepak sireh, kaki lilin, kotak barang kemas,cucuk sanggul, kerongsang, pin baju dan sebagainya.Manakala,barangan perhiasan halus seperti cincin, gelang, rantai ,anting-anting dan seumpamanya.

Proses pembuatan adalah seperti berikut:

Proses peringkat awal dalam pertukangan perak adalah proses melebur. Barang mentah iaitu perak yang berbentuk butir atau biji akan dipanaskan sehingga cair didalam acuan khas atau lebih dikenali sebagai besi penuang. Suhu yang digunakan bagi mencairkan logam perak adalah pada suhu 96 darjah celcius .

Apabila perak yang telah dileburkan itu mencair,perak itu kemudiannya dituang ke dalam acuan penuang yang mempunyai dua bentuk iaitu yang berbentuk leper seperti pinggan dan yang membentuk dawai kasar .

Seterusnya proses yang paling rumit dalam pertukangan perak iaitu proses pembentukkan barang yang ingin dihasilkan daripada kepingan atau dawai atau gabungan kedua-duanya .Barangan itu hendaklah seimbang dan rata atau melengkung dengan tekal . Jika barangan peranggu atau set yang hendak dihasilkan ,barangan yang sepatutnya sama besar mestilah sama besar .

Bagi barangan kasar, tukang perak perlu membuat pasolan terlebih dahulu iaitu rangka barang itu dengan ukuran seperti yang dikehendaki .Pasolan dibuat dengan zink nipis atau kertas tebal .Perak leper daripada acuan kemudiannya diketuk diatas andas kayu yang rata, berlubang atau berbonggol. Dua atau tiga kayu andas seringkali diperlukan bagi membentuk sesuatu bentuk barang yang direka .Barangan kasar jarang dapat dibentuk daripada cuma sekeping perak, biasanya beberapa bahagian diperlukan .Walaubagaimanapun bahagian itu dibentuk secara berasingan dan kemudian dicantum dengam pateri .Sebelum dipateri bahagian-bahagian itu dibersihkan daripada sebarang kotoran seperti minyak yang mana akan menjejaskan cantuman .Bagi perhiasan halus, tukang perak lebih senang bekerja dengan perak dawai .Penggunaan dawai juga mengurangkan kemungkinan pembaziran kerana nilai logam perak yang mahal .

Barangan kasar yang telah siap dibentuk ,dikemaskan dengan corak hiasan dengan menggunakan ‘tenknik pahat’ dan ‘teknik tebuk’ (gergaji) .Kemudian barang itu akan dicuci dengan besi penggosok, dikikir dengan kikir halus dan dipelas dengan kertas pasir .

Akhir sekali, proses menggilap .Barang-barang perak akan digilap dengan menggunakan sabun dan berus dawai tembaga halus bagi menghapuskan kotoran yang berminyak seterusnya mengembalikan keserian barangan perak itu .Barangan perak banyak dihasilkan atas tempahan khusus .


PENGGUNAAN SENI UKIRAN LOGAM PERAK.

Logam perak sangat bermanfaat dalam kehidupan seharian kita selain digunakan sebagai perhiasan diri.

Jika dahulu hanya golongan bangsawan sahaja yang membuat tempahan, namun kini tempat itu sudah diambil alih oleh usahawan di sektor pelancongan ,terutamanya pengusaha perhotelan .Hal ini kerana,perubahan gaya hidup masyarakat dan selera pengguna juga berubah .Barang kraftangan perak kini telah dipelbagaikan penggunaannya .Barangan perak banyak yang dijadikan cenderamata tetapi tidak kurang juga yang mempunyai kegunaan walaupun berbentuk perhiasan .Sebagai contoh, penyangkut kelambu, cangkir, pinggan peranggu, kaki lilin, bekas abu rokok dan perhiasan diri seperti gelang, rantai, cincin,anting-anting dan sebagainya .

Menurut sumber lain,penggunaan perak sangat penting untuk mencegah jangkitan.Kenyataan ini tercatat pada saat zaman Greek dan Rom kuno. Pada ketika itu, pada era Zaman Pertengahan, perak digunakan untuk membasmi kuman dalam air dan makanan selama masa simpanan, dan juga untuk rawatan luka bakar dan luka-luka. Pada abad ke-19 pula, para pelaut di perjalanan laut yang panjang akan menempatkan wang perak mereka ke dalam tong air dan anggur mereka untuk menjaga mutu air tersebut. Para pengkaji Amerika pula menggunakan idea yang sama ketika mereka didalam perjalanan dari pantai ke pantai.

Berbeza pula cara penggunaan logam di wilayah Jermanik .Tradisi memberi hadiah untuk menandakan ulang tahun perkahwinan bermula beberapa ratus tahun yang lalu di wilayah Jermanik pada abad pertengahan Eropah. Ulang Tahun Perak adalah salah satu perayaan penting dalam sesebuah perkahwinan, menandakan dua puluh lima tahun usia perkahwinan seseorang itu, kebiasaannya hadiah diberi kepada pasangan adalah karangan bunga yang diperbuat daripada logam perak. Tradisi ini masih digunakan secara meluas sehingga sekarang .





Rajah 4: peralatan dapur yang dihiasi dengan ukiran logam perak yang halus dari segi pembuatannya.








KESIMPULAN.


Logam perak kurang dihasilkan kini berikutan harganya sudah meningkat. Bagi menghasilkan barang perhiasan halus tukang perak lebih memilih logam perak dawai.Hal ini kerana, harganya yang jauh lebih murah berbanding logam perak seterusnya dapat mengurangkan pembaziran. Hasil seni halus ukiran Melayu ini wajar diwarisi dari generasi ke generasi.Langkah ini penting bagi memelihara seni halus ukiran Melayu agar tidak luput ditelan zaman .Dengan ini, hasil seni halus ini dapat menjadi tatapan generasi muda pada masa hadapan .


Logam perak hasil seni ukiran melayu wajar mengalami proses pemodenan .Seperti yang kita sedia maklum logam perak hanya terhad kepada peralatan rumah, perhiasan diri dan peralatan senjata .Memandangkan pelancong asing gemar berkunjung ke Malaysia,kita wajar mencipta sesuatu yang lebih fleksibel dan mudah untuk mereka membawa pulang cenderamata yang diperbuat daripada logam perak ini ke dalam Negara mereka .Misalnya,plat replika mercu tanda seperti menara berkembar Petronas, menara Kuala Lumpur (KLCC),dan lain –lain lagi .Selain itu, kita juga boleh menghasilkan rantai kunci atau lebih dikenali sebagai key chain yang berorientasikan Malaysia .Dengan ini, kita juga dapat mempromosikan Malaysia ke seluruh pelusuk dunia secara tidak langsung .


Selain itu ,hasil seni halus ini juga wajar dikomersialkan kerana perusahaan logam perak ini berpotensi tinggi untuk dikembangkan .Dengan ini pendapatan Negara dapat ditingkatkan melalui aliran masuk wang sama ada dari dalam negara atau dari luar negara,khususnya mata wang asing yang jauh lebih tinggi nilainya berbanding Malaysia seperti Dollar Singapura Dollar Amerika dan sebagainya. Pelancong asing yang datang berkunjung ke Malaysia pasti akan tertarik untuk memiliki barangan perak ini sebagai koleksi peribadi atau untuk diberi kepada keluarga atau sahabat handai mereka,kerana hasil seninya yang halus dan unik.Seterusnya dapat menaikkan nama Malaysia ke mata dunia .
BIBLIOGRAFI.

Warisan Budaya Malaysia Seni Halus.02 November 2009 .2000.Perpustakaan Negara Malaysia.http://malaysiana.pnm04/0413ukir_logam.htm.

Kelantan Cradle Of Malay Culture.May 2009.Tourism Malaysia, Ministry of Tourism.

Perak: Logam Sang Bulan.05 Febuari 2010.2010.Perak Cantik.www.perakcantik.com.

Perak .www.jewelry.com.

2 comments:

  1. sy mintak utk menggunakan maklumat ini bg pper sy,,
    boleh yer

    ReplyDelete
  2. Boleh tak saya nak alamat perusahaan tembaga di Kelantan...nak pi buat lawatan..

    ReplyDelete